'Hanya perak yang aku mampu'

RADUAN ketika beraksi dalam acara 400m kategori T36. -Foto OSMAN ADNAN
Ferzalfie Fauzi

ferzalfie@hmetro.com.my

“SAYA minta maaf Ridzuan Puzi, ini saja dapat saya sumbangkan,” ujar Raduan Emeari yang meraih perak dalam acara 400 meter lelaki T36 (cerebral parsy) di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Tanggungjawab yang digalas Raduan begitu berat sekali selepas mendapat tahu rakan senegaranya itu tidak dapat meneruskan aksi di Sukan Para ASEAN kali ini kerana demam denggi.

“Saya tetap bangga walaupun memperoleh tempat kedua, ketiadaan Ridzuan membuatkan saya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh kedudukan terbaik kerana sepatutnya dia mengambil bahagian dalam acara ini dan saya akan memberi sokongan dari belakang,” katanya.

Raduan yang berusia 35 tahun mengakui sudah menggalas tugas sebaik mungkin dan berusaha namun terpaksa akur dengan kehebatan atlet Indonesia, Agung Laksana yang meraih emas dengan catatan masa 61.11 saat manakala dia mencatat 64.20s.

“Ini penampilan kelapan saya di Para ASEAN namun dua perak yang diraih termasuk 100m semalam (kelmarin) tetap membanggakan berbanding hanya tiga gangsa dua tahun lalu di Singapura,” kata atlet kelahiran Kuala Selangor itu.

Dia yang meraih lima emas di Manila (2005) dan Korat (2007) menghadiahkan pingat perak kepada kedua ibu bapanya, isteri, keluarga dan semua jurulatih.

“Berat juga tanggungjawab yang dipikul ini kerana kita sentiasa mahu menghadiahkan pingat emas buat Malaysia, namun ini saja yang dapat saya sumbangkan. Kami berjanji jika ada peluang untuk beraksi di Manila selepas ini akan merampas semula emas dalam kedua-dua acara yang dimenangi Indonesia,” katanya.

Pingat gangsa dalam acara itu diraih seorang lagi pelari negara Reza Rasihid dengan catatan masa 71.70s.

© New Straits Times Press (M) Bhd


21 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE