Berakhir karier 17 tahun Zul Amirul

Aida Adilah Mat

aida_adilah@hmetro.com.my

PINGAT perak Zul Amirul Sidi Abdullah (gambar) dalam acara 100 meter kuak lentang S5 di temasya Para ASEAN Kuala Lumpur menjadi penutup kariernya dalam sukan para negara selepas 17 tahun menabur bakti.

Biarpun jiwanya masih membara untuk beraksi namun tegasnya sudah sampai masanya untuk meninggalkan lapangan renang dan membiarkan anaknya Anas Zul Amirul Sidi meneruskan perjuangan mengharumkan nama negara.

Dorongan semangat Anas yang meminta dia melakukan yang terbaik kerana yakin dengan kemampuan dirinya juga antara faktor kejayaan meraih perak hari ini.

Namun tegas Zul sudah lama dia memikirkan keinginan untuk bersara namun permintaan Anas yang mahu mereka bersama-sama dalam sukan renang para negara di Kuala Lumpur membuatkan dia menyimpan hasratnya itu.

“Terima kasih kepada sokongan 30 juta rakyat Malaysia.

“Inilah kali terakhir saya akan berdepan dengan media dan cabaran.

“Tapi sebelum itu saya memohon beribu-ribu kemaafan kerana gagal mempertahankan emas biarpun 10 tahun lalu saya adalah juara. Mungkin faktor umur juga memainkan peranan,” katanya.

Biarpun pingat perak, Zul berkata, sepanjang bergelar atlet negara dia tidak pernah gagal menyumbang pingat dan itu cukup membanggakannya.

Zul mula mewakili negara sejak berusia 23 tahun dan sepanjang pembabitannya sebagai atlet para dia berjaya menyumbangkan lebih daripada 10 pingat emas di temasya Para ASEAN selain emas pada Sukan Para Asia.

Sementara itu dalam acara yang sama perenang negara Jamery Siga meraih gangsa.

Emas dimenangi Vo Thanh Tung dari Vietnam 1:26.77s memadamkan rekod milik Zul yang dilakukan pada 2008 di Korat 1:36.80s.

© New Straits Times Press (M) Bhd


21 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE