Syaiful puas hati perak

Aida Adilah Mat

aida_adilah@hmetro.com.my

PERNAH hilang semangat selepas mengalami kemalangan ketika berusia 17 tahun, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (gambar) bangkit membuktikan dia mampu berjaya andai berusaha.

Biarpun sekadar meraih perak dalam acara 50 meter gaya bebas S6 (kecacatan anggota kaki) Syaiful tetap berpuas hati dan sedar apa yang berlaku itu ada hikmahnya.

“Terima kasih kepada keluarga yang sentiasa memberikan sokongan juga kepada ibu saya Dewihalina Mahad kerana menghantar saya ke pusat pemulihan di Samarahan, Sarawak.

“Di pusat itulah semuanya bermula. Saya bangkit kembali meneruskan kehidupan selepas setahun putus asa kerana tidak dapat menerima hakikat kecacatan yang dialami kerana kemalangan.

“Hari ini saya berjaya bergelar atlet dan menyumbang pingat buat negara,” katanya yang pernah menanam hasrat untuk bergelar anggota polis.

Syaiful, 22, mencatat 34.78 saat dan hanya tewas 0.23s kepada perenang Vietnam yang berpengalaman beraksi di temasya Paralimpik Rio Vo Thanh Tung untuk meraih emas manakala gangsa milik Mulyadi dari Indonesia (40.64s).

Tegasnya temasya Para ASEAN Kuala Lumpur hanya menjadi medan untuknya menimba pengalaman kerana misinya belum selesai.

“Banyak yang perlu saya perbaiki dan pelajari. Saya mahu terus berusaha memperbaiki kelemahan dan mahu mewakili negara hingga ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.”

© New Straits Times Press (M) Bhd


21 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE