Pasang impian lahir jaguh bowling

Rizal latih anak bermain bowling. -Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Mohd Khairie Khalid

khairie@bh.com.my

SELEPAS merangkul dua pingat emas dan satu perak di temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para2017), Rizal Hassan sudah mula memasang impian melahirkan seorang lagi legenda bowling negara yang hebat seperti Shalin Zulkfili.

Mana tidaknya, anak sulungnya iaitu Adriana Zulaikha yang ketika ini menuntut di Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan, Kajang sudah mula menunjukkan minat dalam sukan bowling meskipun usianya baru mencecah 11 tahun.

Atlet berusia 37 tahun itu mengakui dia sering kali melatih Adriana ketika masa lapang namun tidak memaksa anak muda itu untuk terus menceburi dunia sukan.

“Anak sulung saya, Adriana sudah mula menunjukkan minat dalam sukan bowling dan saya ada melatih dia jika ada masa lapang seperti Sabtu dan Ahad tapi saya tidak memaksanya untuk menjadi atlet sukan, biar dia buat pilihan sendiri. Saya ada hasrat untuk jadikan dia seperti Shalin, tapi ia bukan sesuatu yang mudah,” kata Rizal.

Pekerja syarikat swasta di Bandar Permaisuri, Cheras itu memenangi pingat emas trio lelaki campuran B1/B2/B3 (masalah penglihatan) bersama dua lagi rakan Hairul Miran dan Suhaili Ab Hamid di Sunway Mega Lanes dengan 2,062 jatuhan pin, hari ini.

Perak milik Brunei (1,910) dan gangsa Thailand (1,892).

Gelaran selaku juara dalam acara trio lelaki berpasukan itu menyaksikan Malaysia mengekalkan pingat emas di Singapura dua tahun lalu yang diwakili ketika itu Hairul, Choo Kam Chan dan Zainul Akmal Siran.

Rizal memaklumkan dia menghadiahkan pingat emas itu buat isteri, Azrene Anee, 35, kerana sanggup berkorban menjaga empat anak mereka meskipun sibuk dengn rutin kerja harian sebagai seorang penjawat awam di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

© New Straits Times Press (M) Bhd


21 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE