'Emas di sini lagi istimewa'

MADZLAN membalas pukulan Junthong pada acara perseorangan lelaki separuh akhir badminton WH2 di Arena Axiata, hari ini. - Foto HAFIZ SOHAIMI
Helmi Talkah

helmi.talkah@bh.com.my

WALAUPUN sudah lima kali mengungguli perseorangan lelaki kategori WH2, Madzlan Saibon tetap menyifatkan emas di tanah air sendiri pastinya lebih istimewa.

Justeru, dia tidak akan mensia-siakan peluang menyumbangkan kilauan pingat buat kontinjen Malaysia apabila beraksi di final menentang pemain Vietnam, Truong Ngoc Binh di Axiata Arena, esok.

Terdahulu, Madzlan, 41, mara ke final selepas menewaskan pemain Thailand Junthong Dumnern 21-12, 21-8 manakala Ngoc Binh mengetepikan cabaran Aphichat Sumpradit 21-16, 21-10 padas aksi separuh akhir.

“Saya sudah beraksi untuk Sukan Para ASEAN sejak 2003 dan sudah menang lima emas acara ini. Saya hanya tewas di final pada 2005 dan 2009.

“Kali ini perasaan memang lain sedikit sebab bermain di tempat sendiri.

“Sudah pasti kalau menang emas di sini akan jadi lebih istimewa,” katanya yang tidak memandang mudah lawannya, Ngoc Binh pada aksi final.

Madzlan turut menyatakan keterujaan untuk beraksi pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 selepas badminton turut disenaraikan untuk dipertandingkan.

“Memang saya mahu beraksi di Tokyo nanti, saya akan bekerja keras. Saingan kali ini juga sebagai persiapan saya.

“Siapa yang tidak mahu beraksi di Paralimpik kerana ia kejohanan tertinggi untuk setiap atlet,” kata Madzlan yang dua kali bergelar naib juara dunia pada 2009 dan 2011.

© New Straits Times Press (M) Bhd


21 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE