Najib, Azlia raih empat emas

REAKSI Najib ketika menuju ke garisan penamat, semalam. Gambar kanan, Nur Azlia Syafinaz bersama jurumudi Aidillina Adilla (depan) memenangi pingat emas acara basikal kategori B. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
HM Digital

Putrajaya: Pelumba paracycling negara, Mohd Najib Turano dan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais masing-masing meraih empat emas untuk muncul penyumbang terbanyak kontinjen Malaysia setakat ini.

Kejayaan itu melayakkan kedua-dua atlet berkenaan menerima RM50,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

“Saya gembira akhirnya mampu melengkapkan empat emas hari ini (semalam). Tekanan memang tinggi namun akhirnya saya berjaya,” katanya yang meraih emas keempat dalam acara lepas beramai-ramai kategori C4.

Tambah pelumba kelahiran Banting berusia 30 tahun itu, dia mahu membawa ibunya, Salbiah Suar, 62, mengerjakan umrah pada tahun ini.

“Saya berharap mampu menunaikan hajat ini. Saya memasang niat sebelum bermulanya temasya,” tambahnya yang mengalami kecacatan di kaki akibat kemalangan jalan raya.

Turut cemerlang adalah pelumba para tandem wanita, Nur Azlia Syafinaz yang dikemudi Nor Aidillina Adila J Sam apabila turut merangkul empat emas dan satu perak.

“Ini satu pencapaian yang hebat walaupun kami hanya digandingkan selama tiga bulan,” kata Azlia Syafinaz yang mempunyai masalah penglihatan sejak kecil.

Dia turut memasang impian untuk membawa ibu bapanya mengerjakan umrah selepas kejayaan di Sukan Para ASEAN.

Emas keempat atlet kelahiran Pulau Pinang itu hadir menerusi acara lepas beramai-ramai sejauh 61.5 kilometer selepas memenangi acara ujian masa serta dua acara trek sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd


22 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE