Emas tunggal skuad memanah

MOROGEN (kiri) dan Nor Sa’adah bersama pingat emas yang dirangkul pada acara memanah compound campuran terbuka. -Foto HAFIZ SOHAIMI
Azlan Muhammad Zain dan Mohd Fitrie Muhamad

sukan@hmetro.com.my

KEPUTUSAN untuk menyertai acara memanah selepas kehilangan kedua-dua kaki akibat kemalangan nyata membawa tuah kepada atlet negara, K Morogen apabila muncul juara acara compound campuran.

Gandingannya bersama Nor Sa’adah Abdul Wahab menghasilkan emas tunggal skuad memanah sekali gus menyelamatkan maruah mereka yang diletakkan sasaran tiga emas.

Mereka menumbangkan gandingan Indonesia, Toto Wastomi dan Tutik Yumiati dengan 138-117 mata pada pentas final di padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) sebentar tadi.

“Saya kehilangan kedua-dua kaki akibat dihempap kayu balak di kilang pada 2011. Sebelum ini, saya seorang pemandu lori.

“Saya membuat keputusan menyertai memanah pada 2013 di Perak sebelum diserapkan ke skuad kebangsaan sejak setahun yang lalu,” jelasnya.

Ia adalah pingat kedua Morogen selepas meraih perak dalam acara individu.

“Saya amat gembira kerana akhirnya memanah dapat menyumbangkan satu emas walaupun satu panahan saya gagal meraih sebarang mata kerana masa yang tidak mencukupi,” katanya.

Manakala Nor Sa’adah yang tampil buat kali kelima di Sukan Para ASEAN gembira mampu bergandingan dengan baik walaupun masih baru bersama.

“Terdapat pertukaran saat akhir dengan meletakkan Morogen (menggantikan Yuhaizam Yahya) namun saya tidak masalah dengan akhirnya kami meraih emas,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd


22 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE