Perlu lebih pendedahan

PAUL (gambar kecil) akui Morogen, Sa’adah sepatutnya bawa pulang emas individu. -Foto NSTP.
Mohd Fitrie Muhamad dan Azlan Muhammad Zain

bhsukan@bh.com.my

KEGAGALAN merealisasikan tiga pingat emas pada temasya Sukan Para ASEAN membuktikan skuad memanah para negara memerlukan lebih banyak pendedahan di luar negara.

Pengurus pasukan, Paul Leong berkata pendedahan cukup penting bagi mematangkan pemanah negara terutamanya ketika berdepan situasi getir seperti perlawanan akhir.

“Kita letak sasaran tiga pingat emas. Sebelum Sukan Para ASEAN, kami ke Guanzhou, Dubai, Thailand dan Republik Czech namun sebenarnya kami perlu lebih lagi.

“Mereka (pemanah) perlu lebih banyak pendedahan di luar kerana negara lain kali ini juga turut diberi pendedahan di luar.

“Persaingan dalam sukan memanah agak terbuka. Pemanah kita tunjukkan yang kita mahukan kejayaan tetapi rezeki tidak berpihak kepada kita,” katanya ketika ditemui semalam.

Skuad negara menutup tirai saingan memanah dengan satu emas, dua perak dan tiga gangsa.

Walau pun gagal capai sasaran, Paul kekal positif terutamanya selepas melihat kesungguhan yang dipamerkan kesemua pemanah negara.

Bagaimanapun, Paul akui kesilapan yang berlaku jadi pemisah kepada dua aksi final membabitkan K Morogen dalam saingan Compound Lelaki dan Nor Sa’adah Abdul Wahab (Compound wanita) untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

“Apa pun, secara keseluruhan, ia satu pencapaian memuaskan. Sebenarnya sukan memanah bergantung pada hari pertandingan kerana selain faktor fizikal atlet, cuaca juga akan diambil kira.

“Pemanah kita sudah bekerja keras tetapi kadang-kadang kesilapan tetap berlaku dan itu yang berlaku dalam aksi final berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd


22 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE