Berkat doa ibu, ayah

Jumiati Rosly

jumiati@bh.com.my

BIARPUN kesibukan ibu bapanya mencari rezeki sebagai pesawah, doa dan sokongan padu buat anak bongsu mereka, Anderson Jamba membantunya meraih dua pingat emas pada hari terakhir renang dipertandingkan di Pusat Akuatik Nasional Bandar Sukan Kuala Lumpur hari ini.

Anderson berkata bapanya, Jamba Dana dan ibunya, Entin Jerimin kedua-duanya yang bekerja sebagai pesawah dari Sri Aman, Sarawak mahu menyaksikan dia beraksi di laman sendiri namun kekangan masa dan kewangan menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan hasrat itu.

[[gn4id:24472160]]

“Walaupun mereka tiada di sini, pada setiap awal pagi mereka sudah menelefon saya memberikan kata-kata semangat untuk melakukan yang terbaik,” kata perenang berumur 30 tahun itu.

Pada saingan hari ini, perenang berketurunan Iban itu memenangi pingat emas acara 150 meter rampaian individu SM4 (lumpuh kaki) dengan catatan 3 minit 22.21 saat sekaligus memadam rekod 12 tahun yang dilakukan perenang negara, Wong Chee Kin (3:49.01s) di Manila.

Tidak berhenti setakat itu, Anderson turut menghadiahkan pingat emas keduanya apabila Anderson mengungguli acara 50m kuak lentang S4 dengan merekodkan 52.06s.

“Selepas memenangi acara pertama (150m rampaian individu), saya rasa keyakinan saya semakin tinggi untuk memenangi emas kedua,” katanya.

Kejayaan dua pingat emas dan satu perak pada temasya kali ini adalah pencapaian yang terbaik sepanjang penyertaannya pada temasya itu selepas dua kali percubaannya di Myanmar dan Singapura berakhir dengan tangan kosong.

Mengimbau kembali bagaimana perenang itu mula menyertai sukan renang, Anderson berkata dia yang mengalami lumpuh ketika umurnya 14 tahun akibat demam panas bertemu seorang lagi perenang negara, Fraidden Dawan di Pusat Pemulihan Orang Upaya di Kuching pada tahun 2004.

“Fraidden yang ajar saya berenang sebelum ini dan kami mula bersama-sama. Kebetulan juga kami sama-sama memenangi dua emas pada kali ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd


22 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE