Afiq menang emas kedua peribadi

Jugjet Singh

jugjet@nst.com.my

Kuala Lumpur: Afiq Ali (gambar) yang hanya mempunyai satu mata, memenangi emas peribadi keduanya di Sukan Para ASEAN selepas mencatat 23.56s dalam acara 200m T12, semalam.

Isnin lalu, Afiq menjuarai acara 100m T12 selepas mengetepikan dua atlet pilihan dari Thailand, Chaiya Som-Dech dan Wongngoen Amnat dengan catatan 11.45s.

Dia adalah salah seorang atlet yang pernah berdepan kisah tragik kerana walaupun dilahirkan normal, insiden yang berlaku ketika usianya 12 tahun, meragut deria penglihatan mata kirinya.

“Saya bergurau dengan abang. Ketika itu kami sudah mahu tidur. Ketika terlentang, abang saya memusingkan badannya dan sikunya terkena mata kiri saya.

“Biji mata kiri saya ‘meletus’ dan tidak dapat diselamatkan. Saya tidak menyalahkan sesiapa atas insiden itu dan saya sudah mengatasi apa saja masalah yang berkaitan sejak dulu lagi,” katanya.

Afiq adalah atlet sepenuh masa dan dia memegang rekod acara 200m di Sukan Para ASEAN dengan catatan 23.32s yang dilakukan di temasya Singapura dua tahun lalu.

“Acara kegemaran saya ialah 200m tetapi saya turut diarah bertanding dalam acara 100m pada temasya kali ini dan hasilnya cukup memberangsangkan.

“Ia melonjakkan keyakinan saya apatah lagi saya tidak dapat beraksi di Kejohanan Dunia di London tahun ini akibat kecederaan.”

Afiq yang cedera di belakang badannya sejak dua tahun lalu berkata: “Ia masih mengganggu larian tetapi saya ketepikan semua kesakitan untuk memenangi emas buat negara.”

Malaysia menutup saingan acara olahraga dengan catatan 36 emas, 27 perak dan 30 gangsa.

Indonesia muncul juara keseluruhan dengan 40 emas, 28 perak dan 17 gangsa manakala Thailand mengumpul 26 emas, 33 perak dan 31 gangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd


23 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE