Gigih pertahan emas

Aida Adilah Mat

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Fraidden Dawan (gambar) muncul perenang paling menyerlah selain Anderson Jamba di temasya Para ASEAN Kuala Lumpur apabila masing-masing menyumbang dua emas.

Perkara itu diakui jurulatih, Li Xin Xin yang menyifatkan Fraidden sebagai antara perenang negara paling berjaya kali ini.

Gaya konsisten menyaksikan Fraidden yang kudung kaki kiri itu berjaya mempertahankan emas yang dimenanginya sejak 2011 dalam acara 200 meter rampaian lelaki SM10 (catat anggota) dan lebih manis lagi, dia berjaya memadamkan rekod lama miliknya 2 minit 32.46s yang dilakukan di Solo, Indonesia.

Berasal dari Bintulu, Sarawak, Fraidden mencatat rekod baru 2:30.67 saat untuk emas sekali gus menewaskan pencabar dari Myanmar, Aung Phone (2:40.41s) dan atlet Kemboja Yav Vannak (2.56.64s).

Fraidden, 31, menyifatkan kejayaan yang dirangkul kali ini cukup bermakna apabila ia berlaku di depan penyokong dan juga keluarga iaitu isteri dan anaknya.

Namun, pemenang satu perak dan dua gangsa di temasya Para Asia Incheon itu berkata, kunci kejayaannya semalam adalah disiplin selain usaha keras.

“Jika ingin berjaya, jangan letakkan sesuatu perkara itu pada satu tahap. Apabila mahu melakukan sesuatu, kita seharusnya buat lebih daripada yang kita mampu.

“Selain itu, sokongan keluarga juga adalah penting untuk kita terus berjaya dalam karier,” katanya yang kudung kaki selepas terbabit dengan kemalangan pada usianya 14 tahun.

Fraidden menutup saingan KL2017 dengan membawa pulang dua emas dan satu gangsa. Dua tahun lalu di Singapura, dia menyumbangkan dua emas dan dua perak.

Skuad renang negara menamatkan saingan di temasya Para ASEAN kali kesembilan dengan kejayaan meraih sembilan emas, 17 perak dan 10 gangsa.

Perenang negara berjaya menyumbangkan tiga emas, empat perak, 10 gangsa pada hari terakhir acara itu dipertandingkan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

© New Straits Times Press (M) Bhd


23 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE