Semangat juang tinggi nadi kejayaan Adderin

HM Digital

Kuala Lumpur: Sikap tidak pernah mengenal erti putus asa dan sanggup berlatih meskipun menderita kesakitan dek kekurangan yang ada dalam diri menjadi antara resipi kejayaan Adderin Majurin (gambar).

Fikiran bekas tukang kasut itu sentiasa berlegar dengan perkara cukup positif walaupun dia terpaksa turun ke padang berjam-jam berlatih demi sebuah kejayaan. Dia memulakan latihan bermula jam 8 hingga 11.30 pagi dan menyambung kembali latihan dari jam 2 hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu.

Atlet itu sentiasa mengingati ibunya, Unsani Bingol dan arwah bapa, Majurin Kanjiman setiap kali bertanding termasuklah ketika menyempurnakan acaranya semalam yang menyaksikan dia memenangi pingat gangsa lempar cakera lelaki F34 (cerebral palsy) dengan jarak 20.31m.

Pingat emas acara itu menjadi milik Vo Van Tung dari Vietnam (26.23m) manakala seorang lagi atlet negara, Davis Machang di tempat kedua untuk memenangi pingat perak (20.99m).

“Memang saya sudah lakukan latihan habis-habisan demi bertanding di Sukan Para ASEAN, Kuala Lumpur ini sejak Februari lalu. Bagi saya tiada siapa yang menjadi penentu masa depan, melainkan diri sendiri ... tak cukup jika jurulatih melatih kita bersungguh-sungguh tetapi atlet sambil lewa.

“Sama seperti saya buat balingan tadi, saya hanya ingat akan keluarga saya. Walaupun pingat gangsa tetapi saya gembira dengan keputusan ini dan pingat ini untuk kamu semua, rakyat Malaysia,” kata Adderin.

Adderin turut melakar keputusan cemerlang apabila memenangi pingat emas acara lontar peluru lelaki F33 dengan balingan sejauh 7.51m, kelmarin.

Dia berpuas hati selepas berjaya bangkit dan membalas dendam terhadap atlet Vietnam yang menewaskannya di Singapura, dua tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd


23 Sep 2017 00:00:00


SCRIBBLE LIVE