Malaysia hilang lubuk pingat

NORZA ZAKARIA
Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my

KONTINJEN negara bakal kehilangan 30 peratus daripada jumlah pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur apabila tuan rumah akan datang di Filipina tidak menyenaraikan 13 jenis sukan dipertandingkan sebelum ini.

Pada Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada 16 dan 17 Mei di Manila, SEAGF memutuskan untuk menyenaraikan hanya 30 jenis sukan sekali gus menyebabkan Malaysia bakal kehilangan 43 pingat emas.

Sukan yang menjadi lubuk emas negara seperti berbasikal trek yang memenangi 11 pingat emas, boling padang yang memenangi tujuh emas serta pencak silat yang membawa pulang 10 emas tidak disenaraikan pada temasya edisi ke-30 sekali gus menyukarkan peluang negara untuk sekali lagi muncul juara keseluruhan.

Selain itu, sukan lain seperti luncur air memenangi empat pingat emas, kriket (1 emas), bola jaring (1 emas), luncur ais - figure skating (1 emas) dan short track speed skating (4 emas), hoki (3 emas), ragbi 7 sebelah (1 emas), petanque (2 emas).

Tiga lagi sukan - hoki ais, ping pong dan tenis bagaimanapun tidak disenaraikan pada temasya di Filipina dengan kontinjen negara tidak memenangi sebarang pingat emas pada tahun lalu.

Untuk rekod, kontinjen negara selaku tuan rumah pada temasya dwi tahunan tahun lalu membawa pulang 144 pingat emas, 91 perak dan 86 gangsa. 

Dalam mesyuarat SEAGF yang dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Norza Zakaria itu, Filipina turut menyenaraikan gusti/kurash, arnis, dan dancesport yang menjadi kekuatan atlet negara itu.

Bagaimanapun, negara peserta menerusi Majlis Olimpik masing-masing mempunyai masa sehingga 13 Jun ini bagi mengemukakan cadangan penambahan kepada sukan yang sudah disenaraikan.

Mesyuarat SEAGF juga meluluskan Sukan SEA ke-30 akan diadakan pada 30 November 2019 hingga 10 Disember 2019 di tiga bandar iaitu Clark, Subic dan Metro Manila.

INFO

Sukan yang tidak disenarai: Kriket, Bola Jaring, Boling Padang, Luncur Ais - Figure Skating dan Short Speed Skating, Hoki Ais, Ski Air, Tenis, Ping Pong, Pencak Silat, Hoki, Ragbi 7 sebelah, Petanque, Berbasikal (Trek)

Sukan yang disenarai pada Sukan SEA 2019 di Filipina:

Olahraga, Akuatik, Memanah, Badminton, Besbol/Sofbol, Bola keranjang, Billiard dan Snuker, Tenpin Boling, Tinju, Berbasikal, Ekuestrian/Polo, Lawan pedang, Bola sepak, Golf, Gimnastik, Judo/Jujitso, Karate, Perahu layar, Sepaktakraw, Menembak, Skuasy, Taekwondo, Triatlon, Bola tampar, Angkat berat, Gusti/Kurash, Wushu, Arnis, Dancesport, Muay

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 18 May 2018