Rayuan 13 jenis sukan diputuskan 25 November

Fatehah Mustapa (kanan) dan Farina Shawati Mohd Adnan memenangi emas acara pecut berpasukan Sukan Sea KL2017 di Velodrom Nasional Nilai. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) memasukkan semula 13 jenis sukan ke Sukan SEA Filipina 2019 hanya akan diketahui pada 25 November depan.

Cadangan awal Filipina yang juga tuan rumah adalah untuk mempertandingkan 30 jenis sukan, namun difahamkan mereka sedia mempertimbangkan lagi 26 jenis sukan sekali gus menjadikan keseluruhan 56 jenis sukan.

Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan, keputusan itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada mesyuarat kedua SEAGF yang akan bersidang di Filipina pada 23 hingga 25 November depan.

"Pada mesyuarat di Bangkok, minggu lalu secara kebetulan tuan rumah Filipina berada di sana dan mereka memaklumkan daripada 30 jenis sukan dicadangkan Mei lalu, ada tambahan 26 jenis sukan sedang dipertimbangkan.

"Ini kerana mereka menjelaskan bukan saja Malaysia mengemukakan rayuan untuk memasukkan 13 jenis sukan, malah ada beberapa negara lain turut melakukan perkara sama.

"Tapi ini semua bukan muktamad lagi, keputusan ini belum dapat disahkan," katanya semalam.

Mei lalu, NSTP mendedahkan negara bakal kehilangan 30 peratus daripada jumlah emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur apabila Filipina tidak menyenaraikan 13 jenis sukan dipertandingkan, sekali gus menyebabkan Malaysia bakal kehilangan 43 emas.

Sukan yang menjadi lubuk emas negara seperti berbasikal trek yang memenangi 11 emas, boling padang (7) serta pencak silat (10) tidak disenaraikan pada temasya edisi ke-30 sekali gus menyukarkan peluang negara untuk sekali lagi muncul juara keseluruhan.

Selain itu, sukan lain seperti luncur air memenangi empat emas, kriket (1), bola jaring (1), luncur ais - figure skating (1) dan short track speed skating (4), hoki (3), ragbi 7 sebelah (1) dan petanque (2).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 05 Oct 2018