Bulan depan umum CDM

NORZA (tengah) mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma OCM, hari ini. -Foto BERNAMA
Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen (CDM) negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina hanya akan diketahui pada mesyuarat lembaga eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pertengahan bulan depan.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, mesyuarat lembaga eksekutif hari ini memutuskan untuk melantik Naib Presiden, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim bagi menubuhkan jawatankuasa mengenal pasti calon sesuai untuk disenarai pendek.

“Mesyuarat CDM Sukan SEA (edisi ke-30) yang pertama akan diadakan pada hujung bulan depan (di Manila).

“Jadi kami memberi tugasan kepada Mohamad Noor untuk memberi cadangan dalam mesyuarat (lembaga eksekutif MOM) akan datang iaitu pada pertengahan November ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif MOM di sini hari ini.

Norza berkata, mereka menyerahkan kepada Mohamad Noor untuk menentukan kriteria pemilihan yang diperlukan berserta calon yang dirasakan memenuhi kriteria ditetapkan.

“Kami juga mahukan maklumat daripada persatuan sukan kebangsaan mengenai pandangan mereka dan semua ini dilakukan bagi memastikan proses pemilihan CDM yang lebih sistematik,” katanya.

Pada temasya lalu yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah, bekas ratu trek olahraga negara, Datuk Marina Chin dipilih menggalas tanggungjawab sebagai CDM.

Mengenai rayuan mempertandingkan 13 jenis sukan pada Sukan SEA edisi ke-30, Norza berkata, keputusan sebenar sukan yang dipertandingkan masih belum muktamad biarpun mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SGF) berlangsung di Bangkok hujung bulan lalu.

“Apa juga yang didengari setakat ini bukanlah tetap lagi. Matlamat kami adalah meletakkan 13 sukan yang dikemukakan sebagai rayuan ... kami akan pertahankan sukan itu dan sebolehnya kami mahu sukan itu diterima,” katanya.

Norza berkata, mesyuarat SGF di Manila hujung bulan depan akan memuktamadkan acara yang dipertandingkan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 18 Oct 2018