Megat Zulkarnain CDM Sukan SEA 2019

Megat Zulkarnain jadi CDM Malaysia. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilantik sebagai Chef de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Manila.

Sukan SEA edisi ke-30 itu dijadual berlangsung dari 30 November hingga 10 Disember tahun depan dan ia merupakan kali keempat Filipina menjadi tuan rumah selepas edisi tahun 1981, 1991 dan 2005.

Presiden Majlis ​​​​​​​Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pemilihan Megat dibuat berdasarkan pengalaman beliau dalam sukan dan menyifatkan bekas pesilat negara itu turut mempunyai pengetahuan dalam pentadbiran badan sukan.

“Saya percaya dengan kewibawaan dan kepimpinan, beliau mampu menggalas cabaran negara selaku juara bertahan Sukan SEA di Filipina,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini hari ini.

Sementara itu, Norza berkata jumlah jenis sukan pada temasya Sukan SEA Manila akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Manila, hujung bulan ini.

“Buat masa ini, kami dimaklumkan sebanyak 56 jenis sukan namun jumlah belum muktamad kerana cadangan itu akan diperbahaskan di peringkat jawatankuasa pengelola dan diputuskan di peringkat ahli majlis (melibatkan negara-negara Asia Tenggara),” katanya.

Sementara itu, Megat, ketika ditemui berkata, pelantikan itu merupakan penghargaan besar kepada dirinya namun beliau akui bahawa tanggungjawab itu bukan mudah memandangkan status negara sebagai juara bertahan.

Beliau berkata prestasi cemerlang kontinjen negara yang meraih 145 pingat emas di Kuala Lumpur tahun lalu perlu dikekalkan atau lebih baik lagi pada Sukan SEA Manila akan datang.

“Terima kasih kepada MOM dan persatuan sukan kebangsaan yang telah bersetuju memilih saya sebagai Ketua Kontinjen di Filipina. Ini bukan kali pertama saya terlibat dalam temasya antarabangsa, pengalaman sebelum ini akan menjadi panduan untuk saya mengetuai kontinjen kali ini.

Beliau berkata tugas pertamanya membawa cadangan beberapa persatuan sukan kebangsaan pada mesyuarat ketua-ketua kontinjen di Manila, 29 November ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 17 Nov 2018