Sukan SEA Manila pertanding 56 sukan

Norza. FOTO HM Digital
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mengesahkan sejumlah 56 sukan akan dipertandingkan pada Sukan SEA edisi ke-30 di Manila, tahun depan.

Ia disahkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, selepas menghadiri mesyuarat majlis SEAGF di Manila hari ini.

Ketika dihubungi Norza berkata: “Majlis meluluskan 56 sukan. Bagaimanapun, lima sukan - kurash, e-Sports, sukan luncur, skateboard dan ju-jitsu - perlu mengesahkan pembabitan mereka dengan pejabat SEAGF pada 15 Disember depan menerusi permohonan rasmi sama ada oleh persekutuan Asia atau antarabangsa.”

Berikutan mesyuarat majlis eksekutif MOM dua minggu lalu, kontinjen negara dijangka akan bersaing dalam 41 sukan.

Bagaimanapun Norza mendedahkan ski air dan kriket tidak melepasi kelayakan dan hanya akan disahkan selepas jumlah terakhir sukan dimuktamadkan tahun depan.

Ditanya sama ada masih ada ruang untuk merayu, Norza berkata: “Masih ada harapan buat ski air kerana ia sama kategori dengan wakeboard tapi amat sukar buat kriket.

“Pembabitan kontinjen Malaysia berdasarkan proses pemilihan kami.

“Temasya itu akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) pada Januari depan, selepas itu barulah kami akan merancang pemilihan atlet.

“Sasaran pingat juga akan ditetapkan selepas itu kerana terlalu banyak sukan. Kami akan memilih berdasarkan kategori A dan B.”

Sejumlah 404 acara dalam 38 sukan dilangsungkan pada temasya sebelum ini di Kuala Lumpur.

Malaysia muncul juara keseluruhan selepas meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Temasya tahun depan akan dianjurkan di tiga bandar raya utama - Manila, Subic dan Clark - bermula 30 November hingga 10 Disember.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 24 Nov 2018