Quraataina sedia 'bekal' ke Manila

QURAATAINA mahu tebus kekecewaan lalu. FOTO/NSTP
Haika Khazi
mfaizul@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Biarpun program latihan dan senarai pelumba ke Sukan SEA Manila 2019 belum dimuktamadkan, ratu basikal lasak negara, Noor Quraataina Mamat sudah memulakan latihan bagi menghadapi saingan acara BMX Supercross di temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Baginya, persiapan awal perlu kerana  berharap dapat memperbaiki pencapaiannya selepas sekadar meraih pingat gangsa di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akibat kecederaan paha gara-gara terjatuh ketika latihan beberapa hari sebelum temasya bermula.

Jaguh BMX berasal dari Dungun, Terengganu dan wakil tunggal Malaysia berkenaan juga mahu menebus kekecewaan tidak dapat beraksi di Sukan Asia 2018 kerana mengalami masalah gegaran otak selepas terjatuh ketika sesi latihan beberapa minggu sebelum temasya itu.

Jadi, tidak hairanlah jika pelumba berusia 23 tahun itu sanggup berkelana ke Korea Selatan untuk menuntut ilmu dan memperbaiki teknik menunggang bagi menggegar Manila 2019.

"Biarpun Majlis Sukan Negara (MSN) belum mengumumkan sebarang bentuk program latihan rasmi untuk atlet sukan BMX tahun depan, saya sudah memulakan latihan lebih awal kerana sasaran utama saya untuk menang emas jika terpilih ke temasya itu.

"Saya juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi saingan daripada pelumba tempatan lain yang turut mahu merebut peluang beraksi di temasya itu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Quraataina yang juga wakil tunggal Malaysia dalam acara basikal lasak, memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas tidak dapat meneruskan aksinya dalam acara BMX 'supercross' di Sukan Asia 2018, pada 24 Ogos lalu, kerana masalah kesihatan.

Quraataina terpaksa menarik diri selepas dinasihatkan doktor supaya tidak meneruskan aksinya di peringkat saringan acara BMX Supercross berikutan masalah gegaran otak dialaminya ketika latihan di tanah air beberapa minggu sebelum temasya itu berlangsung.

 

 

 

 

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 25 Dec 2018