NAAM, MSN kekal khidmat Jae-hyung

Jae-hyung (kiri) akan pantau jurulatih tempatan. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Lee Jae-hyung tidak lagi akan ‘turun padang’ walaupun Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mencapai kata sepakat meneruskan khidmatnya untuk tempoh setahun lagi.

Sebaliknya ketua jurulatih dari Korea Selatan berkenaan akan lebih tertumpu kepada memantau jurulatih tempatan yang dilantik untuk mengendalikan skuad negara.

Jae-hyung mula berkhidmat bersama skuad negara pada 2001.

"Perbincangan bersama pegawai MSN kelmarin membuahkan hasil yang NAAM inginkan. 

"Jae-hyung akan ditugaskan untuk memantau jurulatih tempatan yang akan membimbing pemanah recurve dan compound negara," jelas Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan.

Tambahnya, ia memberi peluang kepada jurulatih tempatan membuktikan kemampuan mereka dalam menghasilkan keputusan yang diharapkan di pentas antarabangsa.

Menerusi struktur jurulatih dan program senior 2019 yang dicadangkan NAAM, Norizham Ishak akan ditugaskan untuk mengendalikan skuad recurve lelaki manakala Muhammad Marbawi Sulaiman mengetuai skuad wanita.

Abdul Hamid menjelaskan Muhammad Zaki Mahazan dan Adnan Ahmad masing-masing dinamakan untuk membimbing skuad compound lelaki dan wanita.

"KPI mereka adalah untuk mendapatkan emas di Sukan SEA Filipina namun jumlahnya masih belum diputuskan secara terperinci dan akan dibincangkan pada mesyuarat bersama MSN dalam tempoh terdekat," tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 05 Jan 2019