Tiada lagi 'penumpang' sertai temasya sukan

PRESIDEN MOM, Datuk Seri Norza Zakaria. FOTO Bernama
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Tidak akan ada lagi ‘penumpang’ dalam temasya sukan selepas ini susulan kelulusan rombakan yang dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap proses pemilihan dan kriteria.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, hari ini mengesahkan lembaga eksekutif badan induk itu sudah bersetuju dengan cadangan yang dibentangkan oleh panel bebas, kelmarin.

Panel bebas yang ditubuhkan pada September tahun lalu itu dipengerusikan legenda pecut negara, Tan Sri Dr M Jegathesan.

Berdasarkan proses pemilihan dan kriteria yang baharu, atlet yang berhasrat untuk layak bagi kategori A (dibiaya sepenuhnya) perlu berada di ranking tiga terbaik, dan memiliki rekod prestasi yang baik untuk tempoh 12 bulan sebelum itu manakala dalam kategori B (biaya sendiri), atlet perlu berada di kedudukan lapan terbaik.

Bagi acara berpasukan, pasukan di ranking empat terbaik boleh dipertimbangkan dengan Norza turut menegaskan proses pemilihan berkenaan turut digunapakai terhadap Chef de Mission (CDM) dan pegawai pasukan.

“Objektif utama terhadap perkara ini adalah untuk memperkuatkan polisi sedia ada dan memastikan yang polisi ini tidak mempunyai kepentingan di antara pembuat polisi dan juga atlet.

“Polisi sedia ada dibuat sejak 1983 dan ia pernah dikaji semula sekali pada 2006. Kriteria pemilihan akan berdasarkan tahap sukan. Ada lima tahap iaitu tahap dunia, Asia, Asia Tenggara, remaja dan tahap lain.

“Salah satu daripada perubahan dalam kriteria pemilihan akan berdasarkan keputusan terbaik semasa tidak melebihi tempoh 12 bulan, berbanding keputusan pada temasya sebelum ini untuk layak dalam kategori tajaan sepenuhnya atau tajaan sendiri,” kata Norza selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah MOM, hari ini.

Panel bebas itu juga memperkenalkan beberapa ciri penting dalam dasar yang dikaji semula itu termasuk jawatankuasa pemilihan yang lebih bebas dan telus, terdiri daripada Presiden MOM, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (Datuk Ahmad Shapawi Ismail), ketua eksekutif pegawai atau wakil Institut Sukan Negara (ISN) dan dua ahli bebas.

Bagi memastikan kestabilan kewangan dalam proses pemilihan, bayaran pendahuluan 50 peratus akan dikenakan kepada kategori dibiayai sendiri dan bayaran penuh perlu dibuat dalam tempoh 60 hari sebelum upacara pembukaan.

Sementara itu, mengenai Sukan SEA Filipina pada November ini, Norza mendedahkan bahawa Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC)  sudah mengesahkan sejumlah 56 jenis sukan yang terdiri daripada 523 acara akan dipertandingkan pada temasya berkenaan.

Wakil daripada POC akan mengadakan sesi taklimat kepada semua persatuan sukan kebangsaan pada 23 Januari ini dengan edisi ke-30 temasya sukan dwitahunan itu akan berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 08 Jan 2019