Sepak takraw gelung mungkin mangsa 'korban'

Mohd Nazifuddin Najib ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat di Majlis Sukan Negara. NSTP/ Hafiz Sohaimi
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan akan berlaku 'pengurangan' dalam acara sepak takraw di Sukan SEA Manila 2019 berbanding enam acara awal diluluskan sebelum ini.

Ia berikutan langkah terbaharu tuan rumah Filipina untuk sukan sepak takraw dan karate berkongsi venue sama sekali gus menyebabkan kedua-dua sukan itu perlu dimainkan dalam tempoh singkat.

Terdahulu, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Disember mengesahkan sepak takraw akan mempertandingkan acara beregu lelaki, regu lelaki dan wanita, berpasukan lelaki serta gelung lelaki dan wanita, namun senarai itu mungkin menyaksikan gelung lelaki dan wanita bakal menjadi mangsa ‘korban’.

Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada kehadiran Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader di Kuala Lumpur selepas beliau dikatakan akan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bermula 19 hingga 21 Januari ini.

Menurut Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, buat masa ini pihaknya belum dapat mengesahkan sepenuhnya ketika proses rayuan ASTAF masih dalam pertimbangan penganjur.

"Kalau ikutkan skuad sepak takraw negara sudah memulakan persiapan untuk ke Sukan SEA Manila, tetapi mereka perlu bersiap sedia menghadapi sebarang perubahan.

"Ini kerana mungkin akan berlaku perubahan daripada segi acara bagi Sukan SEA 2019 sebab ASTAF sudah mengemukakan rayuan untuk mengubah beberapa acara," katanya selepas ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Sukan Negara (MSN) bersama PSM, hari ini.

Jelas Nazifuddin lagi, permintaan untuk rombakan acara itu bukannya dibuat Malaysia tetapi sebaliknya dikemukakan ASTAF sendiri selepas mengambil kira pendapat beberapa negara ASEAN.

"Dari Malaysia kita sendiri tidak boleh mengemukakan rayuan kerana ia sudah berada di peringkat akhir, tetapi apa yang saya dapat pastikan acara tradisi seperti beregu, regu dan berpasukan masih akan dikekalkan," katanya.

Sebagai rekod temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur menyaksikan sepak takraw menawarkan lapan pingat emas selain empat pingat emas daripada chinlone berbanding hanya enam pingat emas bagi edisi 2019.

Gelung yang mula diperkenalkan dalam Sukan SEA Filipina 2005, dimainkan lima pemain secara mengelilingi (mirip sepak takraw bulatan karya Malaysia atau chinlone Myanmar) dan mereka perlu menyepak atau menanduk bola ke dalam gelung yang digantung setinggi 4.75 meter dan Thailand adalah jaguh bagi acara ini.

 

 

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 14 Jan 2019