Lebur tiga emas gimrama

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my

 

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara hilang tiga pingat emas dimenangi pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dalam acara gimrama apabila hanya lima emas dipertandingkan tuan rumah, Filipina berbanding lapan pada edisi lalu.

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low berkata, tuan rumah hanya mempertandingkan aparatus final gelung, bola, belantan dan riben serta satu acara kumpulan - lima bola. 

"Jadi hanya lima emas dipertandingkan di Filipina dan oleh kerana tak ada acara individu dan berpasukan keseluruhan, maka tak silap saya hanya dua gimnas saja akan dipilih mewakili negara. 

"Maka dengan itu persaingan pada pemilihan nanti adalah sengit," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Biarpun berlaku pengurangan acara, Petrina berkata MSN dan Institut Sukan Negara memberi sokongan menerusi bantuan peruntukan yang bagus buat badan induk itu serta bersetuju menghantar gimnas negara ke enam pertandingan utama tahun ini sebagai pendedahan.

"Daripada lima acara, kita mensasarkan untuk memenangi empat emas (di Sukan SEA 2019), kalau dapat lima emas itu adalah bonus," katanya.

Pada temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur, skuad gimrama negara menyapu bersih lapan pingat emas dipertandingkan dengan menyumbang kepada keseluruhan 13 pingat emas diperoleh daripada sukan gimnastik.

Terdahulu, pemangku Presiden MGF, Kau Git Kaur pula berkata gimnastik artistik juga menyaksikan pengurangan satu acara iaitu berpasukan wanita berbanding 12 acara dipertandingkan di Kuala Lumpur.

"Kita meletakkan sasaran dua emas daripada gimnastik artistik lelaki dan satu emas daripada wanita... Mereka (Filipina) mengurangkan acara yang mana mereka tidak kuat iaitu berpasukan wanita.

"Perkara ini adalah satu kekurangan buat kami kerana semua sedia maklum skuad gimnastik artistik wanita negara adalah paling kuat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 15 Jan 2019