Russel makin hampiri rekod The Speedy Jantan

Russel hampiri rekod Khairul Hafiz. FOTO KOM
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Amaran terbaru dilaungkan oleh Russel Alexander Nasir Taib kepada jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan selepas atlet berdarah campuran Malaysia-Australia itu semakin menghampiri rekod kebangsaan dalam acara 200 meter.

Hanya 0.04 saat (s) memisahkan Russel dengan rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz atau digelar The Speedy Jantan (20.90s) apabila mencatatkan 20.94s di Kejohanan Olahraga Shield Series di Pusat Olahraga dan Sukan Queensland, Australia semalam.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia 2015 yang kini berpangkalan di Queensland itu mengejutkan pelari tuan rumah yang juga pemenang gangsa dalam acara 100m di Sukan Olimpik Remaja 2014 dan Juara Australia 2018, Traw Williams (20.98s) dan Jack Geary (21.82s) apabila masing-masing terpaksa berpuas hati dengan perak dan gangsa.

Catatan itu melayakkan pelari berusia 21 tahun itu melayakkan diri beraksi di Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar pada April, Sukan Universiti Dunia 2019 di Naples, Itali (Julai) dan Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina (November).

Kejayaan itu pastinya berjaya mengubati kekecewaan Russel yang sebelum ini sekadar meraih gangsa ketika menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tahun lalu apabila tewas kepada juara pecut SUKMA, Muhammad Aqil Yasmin.

Ketika SUKMA yang berlangsung September lalu, Russel yang kini melanjutkan pelajaran di University of The Sunshine Coast, Queensland sekadar merekodkan 21.30s manakala Aqil meraih emas dengan catatan 21.01

Bagi ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, pencapaian yang dipamerkan oleh Russel itu satu perkembangan positif dalam sukan pecut negara.

Ia memberi satu cabaran baharu kepada pelari pecut sedia ada negara seperti Khairul Hafiz, Aqil dan Jonathan Nyepa

"Perkembangan yang semestinya memberangsangkan. Catatan itu akan meletakkan dirinya sebagai salah seorang pelari untuk ke Sukan SEA dan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) akan sentiasa memantau perkembangannya.

"Atlet lain perlu berwaspada dan jika ada yang mengidam untuk ke Sukan SEA mereka perlu berusaha lebih keras untuk memintas catatan masa Russel ketika ini," katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 27 Jan 2019