PEMAIN bola jaring, An Najwa Azizan menyifatkan kejayaan menjuarai Kejohanan Bola Jaring Empat Negara di Hong Kong semalam menyuntik motivasi untuk mereka mengekalkan emas di Sukan SEA Filipina penghujung tahun ini.
Bagaimanapun tonggak utama negara ketika Sukan SEA 2017 itu menjelaskan masih terdapat ruang untuk diperbaiki bagi memastikan mereka berada pada tahap yang diharapkan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.
"Permulaan yang bagus pada 2019 bagi mengetahui tahap Malaysia ketika ini. Semua pemain masih dalam proses mendapat kembali rentak kerana sudah lama tidak beraksi dalam saingan kompetitif, kali terakhir enam bulan lalu.
"Secara perlahan cuba mendapat rentak dan masih banyak aspek perlu dipertingkatkan," jelasnya yang turut dinobatkan pemain paling bernilai pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Sukan Kowloon Park itu.
Tambahnya ia turut membolehkan mereka menebus kekecewaan gagal menjuarai kejohanan pada edisi 2017 apabila berada di tempat ketiga.
"Bagi diri sendiri, ia adalah berkenaan maruah selepas tewas dua tahun lalu namun kami kembali dan berjaya merampas kejuaraan," tambahnya.
Pada edisi 2019, skuad negara melakar kemenangan 57-44 di pentas final menumbangkan tuan rumah untuk menebus kekecewaan tewas pada peringkat awal kejohanan kepada lawan yang sama dengan keputusan 31-58 semalam.
Skuad kendalian Tracey Robinson memulakan aksi menewaskan Gibraltar dengan kemenangan besar 61-27 disusuli menumbangkan Thailand 59-30.
© New Straits Times Press (M) Bhd