Fuad waspada tumbukan Paalam

FUAD (kanan) galas cabaran kategori lightweight di Sukan SEA Filipina.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PETINJU negara, Mohd Fuad Redzuan mengakui perlu berwaspada dengan prestasi Carlo Paalam sekiranya mahu mempertahankan emas Sukan SEA di Filipina.

Petinju tuan rumah itu mempamerkan peningkatan ketara berbanding aksi di Sukan SEA 2017 apabila berjaya meraih gangsa pada Sukan Asia 2018 di Jakarta.

"Dia memang berpotensi dan saya perlu berwaspada dengannya. Saya pernah menewaskan dia pada pusingan awal Sukan SEA 2017 namun di Sukan Asia 2018, dia berjaya melangkah lebih jauh," katanya.

Fuad yang bersaing dalam kategori lightweight (bawah 49kg) adalah sandaran utama negara di Filipina penghujung tahun nanti selepas meraih emas di laman sendiri pada edisi 2017.

Tugas sukar berkenaan dilihat sukar kerana tinju antara sukan yang popular di sana dan mereka pastinya mahu memastikan penguasaan penuh.

Barisan petinju negara kendalian jurulatih Azmi Mohd Yunus dijadual melakukan persiapan rapi dengan latihan di luar negara termasuk Thailand dan Kazakhstan bermula bulan depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 06 Mar 2019