Ngauman awal Rimau 7s

SKUAD Rimau 7s bersama trofi kejohanan.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@mediaprima.com.my

PERSIAPAN skuad utama ragbi lelaki tujuh sebelah kebangsaan (Rimau 7s) untuk mempertahankan pingat emas ragbi tujuh sebelah Sukan SEA Ke-30 di Filipina bermula 30 November hingga 11 Disember depan, tampak positif apabila menjuarai Kejohanan Ragbi Kuching 7 Sebelah, semalam.

Pasukan bimbingan ketua jurulatih kebangsaan, Mohd Saizul Hafifi Md Noor itu nyata bukan tandingan apabila menewaskan ATM, 47-0 di perlawanan akhir cup di padang Song Kheng Hai, Padungan, Kuching Sarawak.

Diletakkan sebagai pasukan pilihan, Rimau 7s menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan menewaskan Saint Development, 52-0, Kuching Barbarians (36-0) dan Wolfpack (63-0).

Momentum kemenangan diteruskan pada saingan suku akhir dan separuh akhir apabila membelasah pasukan UNIMAS (36-0) dan Navy Orca (45-7).

Menurutnya, beliau berpuas hati persembahan dipamerkan anak buahnya sepanjang dua hari kejohanan bermula kelmarin.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan mutu permainan mereka. Pemain baru diserapkan dalam program ini seperti Mohamad Sofian Mohamad Kamil, Muhammad Hezry Muhammad Anis, Joseph Gordon dan Muhammad Azizul Hakim Che Oon pamer prestasi baik.

"Keserasian dengan pemain lama juga makin bagus dan mereka sudah dapat belajar taktikal dan teknikal yang diterapkan pasukan," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Selain Sukan SEA, Rimau 7s bakal bersaing dalam Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah di Jakarta pada Ogos nanti.

Mohd Saizul Hafifi berkata, bagi memantapkan lagi Rimau 7s, skuadnya akan ke Thailand akhir bulan ini untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan ragbi kebangsaan dan kelab polis dan tentera di sana.

"Kita berharap dapat lihat apa kelemahan pasukan untuk ke Sukan SEA," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 08 Apr 2019