Jumlah acara Sukan SEA diputuskan 25 April

Mohamad Norza (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif OCM di Wisma OCM, Jalan Hang Jebat. Turut hadir, Abdul Azim (kanan) dan Mohd Nafizuddin Mohd Najib. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
BERNAMA

JUMLAH muktamad acara yang bakal disertai atlet Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini akan diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet pada 25 April ini.

Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pihaknya tidak boleh terburu-buru membuat keputusan kerana perlu mengambil kira beberapa sukan lain yang bukan merupakan anggota gabungan MOM yang turut berminat menyertai Sukan SEA 2019.

"Kita sebenarnya sudah memutuskan untuk menyertai 45 acara (daripada 56 acara) berdasarkan pertemuan dengan beberapa pihak lain termasuk MSN (Majlis Sukan Negara), MOM, ISN (Institut Sukan Negara) dan wakil persatuan sukan kebangsaan sebelum ini.

Selain daripada 45 acara ini, beberapa sukan lain yang bukan di bawah anggota gabungan MOM turut berminat menyertai Sukan SEA 2019 dan kita masih meneliti permohonan mereka sebelum diputuskan pada 25 April ini," katanya.

Abdul Azim berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali ke-12 bagi penggal 2018-2021 yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria di Wisma OCM, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Azim mendedahkan Filipina tidak menolak kemungkinan untuk menggugurkan beberapa acara daripada senarai awal 56 acara yang dipersetujui pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Manila pada 25 April ini.

Ditanya mengenai nama dua Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Abdul Azim memaklumkan perkara berkenaan akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebelum ini mengesahkan MOM bersetuju dengan permintaan beliau untuk mendapatkan dua orang Timbalan Ketua Kontinjen bagi memantau pembabitan atlet Malaysia di Sukan SEA 2019 yang bakal diadakan di empat kluster iaitu Manila, Clark, Subic, dan BLT (Batangas, La Union dan Tagaytay).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 09 Apr 2019