Fauzan yakin kekal emas Sukan SEA

FAUZAN (dua kiri), Ameen (kiri), Ameer (kanan) dan Nik Azwan mahu mengulangi pencapaian KL2017. — FOTO Luqman Hakim Zubir
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PELUMBA berpengalaman negara, Fauzan Ahmad Lutfi yakin mereka berpeluang cerah untuk mempertahankan pingat emas ujian masa berpasukan di Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Dalam rangka persiapan awal bagi menghadapi temasya dwitahunan itu, Malaysia menamatkan saingan pada Kejohanan Lebuhraya Asia di Tashkent, Uzbekistan di tangga keenam, malam tadi.

Pasukan negara yang diketuai Fauzan mencatatkan 47 minit 56:79 saat bagi saingan sejauh 40 kilometer dengan tuan rumah meraih emas 44:16.99s diikuti Korea Selatan dan Hong Kong.

“Ini kali pertama skuad negara diuji dan bertanding pada kejohanan ini, jadi berdasarkan keputusan saya puas hati kerana mengharungi cabaran hebat apabila berlumba dalam cuaca sejuk sekitar 10 Celsius.

“Hanya saya dan Nik Azwan Zulkiflie pelumba berpengalaman dengan yang lain muka baharu. Saya fikir peluang untuk mempertahankan emas pada Sukan SEA Filipina cerah namun latihan perlu berterusan,” katanya.

Jelas Fauzan, latihan rapi perlu dilaksanakan segera bagi meningkatkan prestasi pasukan.

“Kami hanya ada beberapa bulan lagi, jadi skuad negara perlu menyertai lebih banyak perlumbaan. Saya percaya dengan latihan yang mantap seperti 2017, kami mampu mempertahankan emas,” katanya.

Emas ujian masa berpasukan Sukan SEA 2017 adalah antara kejutan dilakar kontinjen negara menerusi gandingan Fauzan, Nik Azwan serta pasangan kembar, Ameen dan Ameer Ahmad Kamal.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 24 Apr 2019