Bola baling 'kena hukum'

NORZA (empat kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA di Kuala Lumpur, hari ini. — FOTO Mahzir Mat Isa
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

BOLA baling ‘menerima hukuman’ apabila muncul antara lima sukan yang tidak disertai Malaysia pada Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini.

Selain bola baling, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) adalah antara persatuan yang dilaporkan berhutang dengan MOM.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan, keputusan tidak menyertai lima sukan itu kerana berasakan ia tidak relevan untuk negara.

“Beberapa faktor diambil kira seperti solidariti dan aspek pembangunan sukan itu,” katanya. Empat lagi sukan yang disisihkan adalah arnis, kuresh, sambo dan gusti.

Pada masa sama, MOM bertegas mereka yang tersenarai dalam kategori B ke Sukan SEA Filipina perlu membayar deposit 50 peratus atau tidak dibenarkan bertanding.

“Bagi Sukan SEA Filipina, kami akan pastikan proses untuk kategori B diketatkan, antaranya deposit 50 peratus dikenakan atau tidak boleh bertanding,” katanya.

Jelasnya, tiada deposit dikenakan kepada mereka yang bertanding atas kategori B sebelum ini dan kini pendekatan itu diubah.

Norza yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA 2019 mengesahkan Malaysia akan menyertai 51 daripada 56 jenis sukan yang dipertandingkan di Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 25 Apr 2019