Rimau 7s tak rela pingat emas terlucut

Skuad Rimau 7s pamer aksi memberangsangkan di Bangkok. FOTO Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM)
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@mediaprima.com.my

SKUAD ragbi lelaki tujuh sebelah kebangsaan (Rimau 7s) mempamer persefahaman terbaik apabila menang tiga daripada empat perlawanan pada hari pertama Kejohanan Jemputan 7s di Thailand.

Perkembangan itu menggembirakan, ketua jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Md Noor dalam usaha mempersiapkan skuad negara khasnya misi mempertahankan pingat emas ragbi di Sukan SEA Ke-30 di Manila, Filipina.

Biarpun tewas perlawanan pertama kepada pasukan Thailand A, 19-10 beliau berpuas hati prestasi anak buahnya dalam aksi di Stadium King Sport Center (Bangbon), Bangkok itu.

"Perlawanan pertama kami mulakan dengan pemain baru berada dalam program untuk lihat prestasi dan persefahaman.

"Alhamdulillah, walaupun kalah, tapi saya puas hati dengan prestasi. Ada ruang untuk kita perbaiki lagi.

Dan untuk perlawanan selepas itu semua dah nampak lebih baik dan selesa," katanya dihubungi menerusi WhatsApp, hari ini.

Selain Rimau 7s, skuad ragbi wanita tujuh sebelah, (Panthera Lady) dibimbing Nik Safuan Ismade Nik Man turut beraksi pada kejohanan sama.

Mohd Saizul berkata, dalam perlawanan kedua menentang Thailand B, skuad negara mula bermain dengan baik dan menguasai permainan serta berjaya mengekang asakan lawan untuk mencatat kemenangan, 31-5.

Begitu juga dalam dua perlawanan seterusnya bertemu Laos dan Singapura apabila pemain negara menunjukkan penguasaan untuk membelasah lawan masing-masing, 39-0 dan 29-0.

"Dalam perlawanan terakhir menentang Singapura, kita berjaya menahan asakan lawan yang dibarisi tiga pemain luar 'Mat Salleh' dan bermain dengan baik semasa menyerang.

"Alhamdulillah, tiada pemain mengalami kecederaan dan bersedia untuk hari kedua esok (hari ini)," katanya.

Beliau berkata, kedatangan ke Thailand bertujuan menilai prestasi semasa Thailand dan mencari kekurangan pasukan untuk diperbaiki.

Sementara itu, Panthera Lady juga 'lambat panas' apabila tewas 0-41 kepada Thailand dalam perlawanan pertama sebelum menang ke atas Universiti Chulalongkorn dan 45-0 dan Laos, 33-0.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 27 Apr 2019