Martin dah 'kenal' anak buah

CHRIS Martin memantau atlet renang negara pada sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

SEBAIK berakhirnya Terbuka Malaysia kelmarin, jurulatih renang negara, Chris Martin mengakui bahawa tugasnya untuk mempersiapkan perenang menjelang Sukan SEA Filipina hujung November depan sudah bermula.

Martin berkata, beliau sudah melihat sendiri dan banyak belajar mengenai situasi perenang negara sekarang ini termasuk jaguh gaya bebas, Welson Sim.

“Banyak perkara menarik saya belajar di kejohanan ini, saya sudah mendapat sedikit gambaran bagaimana situasi perenang bertaraf Sukan SEA. Sekarang saya sudah mengetahui bagaimana mereka perlu berlatih, apa perlu dilakukan dan kejohanan yang perlu mereka sertai selepas ini,” kata jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu.

Martin yang pernah menjadi jurulatih England mengakui bahawa beliau gembira dengan perkembangan sukan renang di Malaysia terutama dengan kehadiran atlet muda.
“Perenang senior pula berada pada tahap di mana mereka patut berada. Sudah tiga minggu saya di sini dan saya memberitahu mereka tugasan untuk Sukan SEA akan bermula esok (semalam).

“Selepas kejohanan ini saya sudah nampak di mana tahap yang harus dijadikan penanda aras. Ia seperti kita sudah tahu jarak antara bandar ke bandar lain dan kita perlu mencari jalan pintas untuk ke destinasi yang akan ditujui,” katanya.

Martin juga menjelaskan beliau sudah melihat sendiri apa keputusan yang perlu dilakukan untuk pembangunan akar umbi.

“Kita perlu satu keputusan terbaik untuk melihat arah tuju perenang muda dan saya akan memulakannya dengan mengadakan klinik di setiap negeri untuk memperbetulkan perkembangan akar umbi sukan renang.

“Mengenai Welson pula, saya tidak ada apa yang hendak cakapkan kerana dia memang terbaik. Dia mempunyai kekuatan mental dan sentiasa mempertingkatkan gaya renangannya. Walaupun berdepan kesakitan, dia tetap kekal dengan rancangannya dan mempamerkan renangan mantap, ini kali pertama saya melihat dia beraksi di depan mata,” kata Martin.

Welson yang berpangkalan di Australia bukan saja berjaya meraih empat emas malah turut melakarkan rekod baru kebangsaan dalam acara 100m gaya bebas iaitu 49.54 saat.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 29 Apr 2019