Impian emas Harrif terjejas kerana laluan

Laluan tidak memihak kepada Harrif. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

HASRAT pakar pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh melakar hatrik emas di Sukan SEA mungkin tidak kesampaian apabila laluan yang bakal digunakan di Filipina lebih memihak kepada pakar pendaki.

Ia disahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab yang sudah meninjau dan dimaklumkan tentang pemilihan laluan perlumbaan lebuh raya pada edisi ke-30 Sukan SEA itu.

"Edisi kali ini bukan laluan yang memihak kepada pelumba pecut.

Perlumbaan sejauh 160 kilometer memberi kelebihan kepada pelumba yang mempunyai kemampuan melakukan pendakian kerana sebahagian besarnya laluannya adalah berbukit.

"Malah lapan kilometer terakhir menuju garisan penamat adalah membabitkan pendakian.

Ia laluan yang hampir sama ketika edisi 2005 dengan Malaysia meraih emas menerusi Suhardi Hassan," jelasnya selaku Delegasi Teknikal (TD) Sukan SEA 2019.

Harrif menyuarakan hasrat untuk sekali lagi mewakili negara di Sukan SEA Filipina selepas kejayaannya meraih emas pada edisi 2015 dan 2017 menerusi acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

Malah, dia menyifatkan berada pada prestasi terbaik selepas pencapaian memenangi peringkat perlumbaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) tiga minggu lalu.

"Skuad negara masih belum dibentuk dengan PKBM merancang untuk membuat penilaian terakhir pada kejohanan kebangsaan pada Jun.

Kita merancang untuk menggabungkan pelumba dari TSG, Team Sapura Cycling (TSC) dan pelumba lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 01 May 2019