Tiada lagi 'pelancong sukan'

MEGAT Zulkarnain (tengah) tak mahu insiden sama berulang.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

KETUA kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan tiada ‘pelancong sukan’ sama ada dalam kalangan pengurus pasukan atau atlet negara.

"Saya akan minta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar dipanjangkan kepada persatuan sukan kebangsaan (NSA) supaya menamakan pengurus pasukan bagi setiap sukan dengan segera.

"Ia bagi membolehkan mereka memahami tugas dan peranan diberikan kepada mereka. Kita tidak mahu insiden seperti sebelum ini berlaku apabila pengurus hanya mengenali dan mengetahui masalah atlet di lapangan terbang.

"Saya tidak mahu sebut secara terperinci namun saya tidak mahu insiden sama berulang," katanya selepas mesyuarat kali pertama sekretariat Sukan SEA 2019.

Malaysia dijangka mempunyai pengurus pasukan dalam jumlah yang ramai apabila bakal menyertai 51 dari 56 jenis sukan pada edisi ke-30 temasya itu.

Selain itu menurut beliau, kebimbangan ditimbulkan adalah masalah kesesakan selain makanan halal terutamanya di Subic yang mempertandingkan kebanyakan prospek utama negara dengan tinjauan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian," tambahnya.

Malah menurutnya mereka turut memandang serius ancaman gempa bumi di Filipina seperti berlaku tempoh hari, dengan pihaknya merancang mewujudkan pasukan dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi membolehkan atlet serta pegawai kontinjen bersedia terhadap sebarang kemungkinan.

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju menubuhkan tiga sekreteriat di tiga kluster utama di Manila, Clark dan Subic bagi melicinkan semua perkara.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 02 May 2019