Ho Ying-Karen sandaran terbaik raih pingat Sukan SEA Filipina

KAREN (dua, kiri) dan Ho Ying (dua, kanan) menerima insentif dari Persatuan Ping Pong Malaysia selepas memenangi pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
BERNAMA

PEMENANG pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, Ho Ying-Karen Lyne menjadi taruhan terbaik Malaysia meraih sebutir pingat dalam acara beregu wanita pada temasya Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Naib Presiden Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM), Dr Chin Kuen Liang berkata, TTAM meletakkan sasaran sederhana sebutir gangsa menerusi beregu tersebut selepas mengambil kira prestasi semasa pemain negara.

Pencapaian di luar dugaan oleh beregu tersebut pada Sukan Komanwel itu membolehkan TTAM menaruh harapan tinggi terhadap mereka untuk menyumbang pingat di Sukan SEA, katanya.

Skuad ping pong negara meraih pingat acara beregu wanita yang pertama dalam sejarah Sukan Komanwel selepas gandingan itu menewaskan beregu India, Sutirtha Mukherjee-Pooja Sahasrabudhe 3-1 dalam aksi penentuan gangsa.

“Kalau boleh kita mahu menang lebih banyak pingat di Sukan SEA tetapi ini sasaran realistik...lebih-lebih lagi tidak ada acara berpasukan dipertandingkan kali ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja TTAM dengan Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada temasya Sukan SEA, TTAM akan menghantar empat pemain lelaki dan empat wanita dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Chin mengakui saingan pada temasya dwitahunan itu amat sengit dengan negara-negara peserta seperti Singapura menggunakan khidmat pemain naturalisasi dari China.

Beliau juga berkata, TTAM melantik ketua jurulatih baharu, Mu Tong dari China, bulan lalu bagi membantu meningkatkan kemahiran dan prestasi pemain negara.

Mu Tong merupakan bekas jurulatih untuk jaguh Jepun, Ai Fukuham yang memenangi perak pada Sukan Olimpik 2012 di London dan gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016.

"Beliau jurulatih yang luas berpengalaman dan telah mengatur banyak pertandingan dan latihan di China untuk pemain kita,” katanya.

Selain itu, beliau juga bercadang membawa rakan sepelatih dari China dan Filipina serta mengatur kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Komanwel di India, Jun ini dan Kejohanan Asia di Bali, Indonesia, September ini, katanya.

Chin menjelaskan barisan skuad negara ke Sukan SEA akan dimuktamadkan menerusi pertandingan pemilihan, Jun ini.

Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad ping pong negara menyumbang dua gangsa menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita manakala Singapura menggondol lima emas manakala Thailand dan Vietnam, masing-masing membawa pulang satu emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 10 May 2019