Hanya terbaik ke Sukan SEA - Choong Hann

Choong Hann pantau pemain terbaik untuk ke Sukan SEA. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

KESIBUKAN kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak menghalang Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghantar pemain terbaik ke Sukan SEA di Filipina berlangsung hujung November ini.

Menurut Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann mereka akan sentiasa memantau kondisi dan keadaan pemain ini kerana selepas Sukan SEA terdapat satu lagi kejohanan besar iaitu Jelajah Akhir Dunia BWF di Guangzhou.

"Berkenaan Sukan SEA kita akan menghantar pemain terbaik yang mampu meraih pingat. Saya percaya prestasi di temasya berkenaan tidak akan mengganggu mereka bagi baki saingan kelayakan Sukan Olimpik 2020," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Ujarnya, BAM akan membuat penelitian untuk membentuk skuad ke Sukan SEA dengan pengumuman senarai awal pemain bakal dilakukan bulan depan.

"Sekarang ini kita dalam proses penilaian untuk menyenaraikan pemain ke kejohanan berkenaan," kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Ditanya pemain profesional berpeluang tersenarai dalam skuad Sukan SEA, Choong Hann mengakui perlu melihat kondisi pemain dan perlu menunggu sehingga mereka membuat keputusan selepas ini.

"Kita juga akan memantau senario pemain menjelang Jelajah Akhir Dunia BWF. Kita akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan sebaik mungkin.

“Namun ia bukan perkara luar biasa buat pemain untuk beraksi dalam kejohanan secara berturut-turut.

"Mengenai sasaran pingat pula kita masih belum ada secara spesifik tapi akan memaklumkan kepada anda semua selepas mempunyai maklumat lengkap," katanya.

Choong Hann mengakui latihan akan berjalan seperti biasa sehingga Olimpik 2020 dan Sukan SEA bakal dijadikan sebagai hentian rehat sebelum destinasi paling penting di Tokyo.

"Matlamat utama kita memang Olimpik 2020 namun Sukan SEA adalah objektif paling penting tahun ini," katanya.

Sementara itu, Choong Hann turut memberi penjelasana dalam mesyuarat berkenaan mengenai status terkini Datuk Lee Chong Wei yang perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri sebelum turun beraksi di kejohanan antarabangsa.

"Sememangnya isu Chong Wei dibincangkan sejak beberapa mesyuarat terdahulu.

“Segala bantuan disekelilingnya sedang menunggu masa sesuai untuk membantunya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 13 May 2019