'Hanya pilih yang terbaik'

WONG CHOONG HANN
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

KESIBUKAN kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak menghalang Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menghantar pemain terbaik ke Sukan SEA Filipina yang berlangsung hujung No vember ini.

Menurut Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann mereka akan sentiasa memantau kondisi dan keadaan pemain kerana selepas Sukan SEA terdapat satu lagi kejohanan besar iaitu Jelajah Akhir Dunia BWF di Guangzhou.

“Berkenaan Sukan SEA kami akan menghantar pemain terbaik yang mampu meraih pingat. Saya percaya prestasi di temasya berkenaan tidak akan mengganggu mereka bagi baki saingan kelayakan Sukan Olimpik 2020,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam. Ujarnya, BAM akan membuat penelitian untuk membentuk skuad ke Sukan SEA dengan pengumuman senarai awal pemain bakal dilakukan bulan depan.

“Sekarang kami dalam proses penilaian untuk menyenaraikan pemain ke kejohanan berkenaan,” katanya yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara.

Ditanya mengenai pemain profesional berpeluang tersenarai dalam skuad Sukan SEA, Choong Hann mengakui beliau perlu melihat dulu kondisi pemain namun masih lagi belum muktamad dan perlu menunggu sehingga mereka membuat keputusan selepas ini.

“Kami juga akan memantau senario pemain menjelang Jelajah Akhir Dunia BWF. Kami akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan sebaik mungkin, namun ia bukan perkara luar biasa buat pemain untuk beraksi dalam kejohanan secara berturut-turut.

“Mengenai sasaran pingat pula, masih belum ada secara spesifik tapi akan memaklumkan kepada anda semua selepas mempunyai maklumat lengkap,” katanya.

Choong Hann juga mengakui latihan akan berjalan seperti biasa sehingga Olimpik 2020 dan Sukan SEA bakal dijadikan sebagai hentian rehat sebelum destinasi paling penting ialah di Tokyo.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 14 May 2019