Fauzan lega...

MOHD Fauzan Ahmad Lutfi
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PELUMBA berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi mengakui lega dengan persiapan yang dirangka untuk skuad ujian masa berpasukan mempertahankan emas Sukan SEA di Filipina.

Skuad negara yang membabitkan lapan pelumba menjalani latihan pusat di Chiang Mai, Thailand bulan lalu selain menyertai beberapa pelumbaan di Jelajah Asia bagi membentuk ketahanan dan mencapai keserasian terbaik.

“Ia perkembangan yang bagus apabila persiapan sudah bermula. Saya fikir kita mempunyai tempoh yang mencukupi untuk membentuk skuad yang mantap bagi mempertahankan emas dua tahun lalu dengan gandingan muka baru dan lama mampu menyerlah di Filipina nanti.

“Sememangnya skuad negara mempunyai potensi terutamanya jika dilihat kepada prestasi di Kejohanan Lebuhraya Asia bulan lalu apabila menduduki tempat keenam,” katanya.

Selain Fauzan, antara pelumba yang bersaing merebut tempat adalah Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Muhammad Nur Aiman Rosli, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Daniel Haikal Edy Suhaidee serta gandingan adik beradik, Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal.

“Semua pelumba mempamerkan komitmen yang tinggi walaupun latihan dan perlumbaan berlangsung dalam Ramadan. Ia menunjukkan persaingan yang sengit bagi merebut empat tempat ke Filipina kali ini,” katanya.

Malaysia melakar kejutan dengan meraih emas di Sukan SEA 2017 menerusi gandingan yang diketuai Fauzan bersama-sama Nik Mohd Azwan, Ameer dan Ameen.

Malah acara berkenaan menjadi sandaran negara untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 02 Jun 2019