Jangan dengar cakap kawan

WENDY NG
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengingatkan atlet negara agar tidak sewenang-wenangnya mengambil sebarang suplemen bagi mengelakkan mereka terpalit dengan penggunaan bahan terlarang.

Ingatan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping MOM, Datuk SS Cheema menjelang temasya Sukan SEA 2019 di Filipina penghujung tahun nanti.

“Jangan beli sendiri. Jangan dengar cakap kawan. Apa yang ditulis di label suplemen mungkin berbeza dengan kandungannya.”

“Paling penting mereka perlu merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan kepastian.”

“Sudah banyak berlaku kes seperti ini, jadi atlet hanya dibenarkan mengambil suplemen yang disaran dan diluluskan ISN. Kita mahu tiada kes doping berulang di Filipina dan mahu mereka faham bahawa kita mengamalkan pendekatan ‘zero-tolerance’ terhadap perkara ini,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Cheema, ujian kebiasaan akan dijalankan secara rawak membabitkan 70 hingga 80 peratus atlet yang bertanding dengan sukan seperti olahraga, angkat berat dan renang menjadi tumpuan.

Isu doping sering membayangi atlet negara apabila bertanding di pentas antarabangsa. Dua tahun lalu semasa Sukan SEA 2017, penerjun negara Wendy Ng yang meraih dua emas positif mengambil bahan terlarang jenis sibutramine yang kebiasaannya terdapat dalam produk pelangsing badan.

Malaysia dijangka menghantar jumlah atlet yang ramai apabila bakal menyertai 51 daripada 56 jenis sukan dipertandingkan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 08 Jun 2019