Rafiq intai penamat podium

RAFIQ ISMAIL. — FOTO Danial Saad
BERNAMA

SESUDAH mempamerkan aksi hambar dalam beberapa kejohanan sebelum ini, pemain boling kebangsaan, Rafiq Ismail tekad bangkit dengan menyasarkan kedudukan podium dalam beberapa kejohanan selepas ini.

Juara perseorangan Kejohanan Dunia Lelaki 2018 itu akan menyertai kejohanan Antarabangsa Terbuka Singapura ke-51 dari 24 hingga 30 Jun ini selain dua kejohanan di Eropah iaitu Cabaran Madrid dari 29 Jun hingga 7 Julai dan Masters EBT di Sepanyol pada 4 Julai ini.

“Sasaran saya dapatkan kedudukan podium dalam salah satu kejohanan itu kerana saya tidak meraih sebarang keputusan positif musim ini.

“Saya akan cuba memperbaiki kelemahan dari segi lambat menyesuaikan diri dengan lorong selain gagal menggunakan peralatan boling dengan betul pada kejohanan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rafiq mendedahkan peluang merebut tempat ke Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini masih terbuka memandangkan ketua jurulatih Holloway Cheah masih belum memuktamadkan senarai akhir lapan pemain ke temasya sukan dwitahunan itu.

Rafiq berkata, senarai akhir lapan pemain ke Sukan SEA 2019 akan dipilih berdasarkan prestasi semasa dalam beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa hingga September ini.

Pencapaian terbaik Rafiq musim ini adalah meraih tempat ketujuh pada kejohanan Siri Dunia X Chameleon di Amerika Syarikat, Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 10 Jun 2019