Selamat tinggal renang - Heidi

Heidi umum persaraan. FOTO fail NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

SELEPAS 25 tahun terbabit dalam sukan renang, perenang negara Heidi Gan mengesahkan bahawa dia secara rasmi akan bersara daripada sukan itu.

Persaraan itu secara tidak langsung meninggalkan kesan pada arena sukan negara selepas pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei turut mengumumkan persaraannya selepas berbakti selama 19 tahun.

Pengumuman dari Heidi itu menyaksikan dia tidak akan turun mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL217) kali ini di Filipina selain turut melupakan temasya Olimpik Tokyo 2020.

"Berenang adalah hidup saya selama 25 tahun yang lalu. Tapi saya tidak akan capai apa yang saya dapat hari ini tanpa sokongan daripada jurulatih saya, Matt Magee dan semua jurulatih yang terbabit sepanjang karier saya selama ini.

"Terima kasih kepada keluarga, kelab @perthcity_sc, ASUM (Kesatuan Renang Amatur Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara), NSC (Majlis Sukan Negeri) dan semua penaja yang bertahun-tahun menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya.

"Juga kepada penyokong, mentor dan kawan-kawan. Saya amat berterima kasih atas sokongan anda selama ini," katanya yang dipetik menerusi laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Heidi berkata, renang mengajarnya erti kehidupan sebenar yang mana dia bertemu ramai kawan baru dan juga pasangannya.

"Pengalaman yang cukup bermakna sepanjang terbabit dalam sukan ini.

Jatuh bangun saya dalam sukan ini menjadikan saya lebih dewasa.

"Saya amat berbangga dapat mewakili Malaysia dan saya harap dapat menggalakkan lebih ramai atlet wanita terbabit dalam sukan ini selain mempromosi sukan renang di Malaysia," katanya.

Heidi di lahirkan 8 Oktober 1988, berpangkalan di Adelaide Australia, kini memilih memberi tumpuan terhadap kerjayanya sebagai peguam di Australia selepas menamatkan pengajiannya tahun lalu.

Selain mengharumkan nama di peringkat Asia Tenggara, Heidi diberi kepercayaan mengibarkan cabaran negara di temasya Sukan Olimpik 2012 London dalam acara 10km renang terbuka dan menamatkan saingan di kedudukan ke-16 ketika itu.

Dalam acara yang sama dia sekali lagi turun beraksi di Olimpik Rio 2016 dan menamatkan aksi di kedudukan ke-21.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 13 Jun 2019