Nurul Huda harap generasi muda teruskan legasi

Nurul Huda (dua kanan) bersama Charles (tengah) dan Teichmann (dua kiri) serta tetamu jemputan sempena pelancaran Rehamed Theraphy. FOTO Sairien Nafis
Ruwaida Md Zain
sukanteam@nstp.com.my

BEKAS ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah berharap kecemerlangan sukan renang yang pernah diciptanya hampir 30 tahun lalu dapat diteruskan atlet pelapis.

Menurutnya, kejayaan seseorang atlet itu tidak dapat diraih sekelip mata, sebaliknya memerlukan komitmen, pengorbanan dan latihan berterusan.

"Saya bangga melihat semakin ramai atlet renang yang muda dan bagus. Saya gembira melihat perkembangan ini, malah saya lihat ramai dalam kalangan anak kecil belajar berenang, begitu juga dalam pertandingan renang.

"Namun, komitmen daripada atlet sahaja tidak memadai kerana jurulatih dan keluarga turut memainkan peranan dalam usaha melahirkan atlet yang bagus.

"Saya yakin negara mampu lahirkan lebih ramai atlet renang yang hebat pada masa depan," kata Nurul Huda ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan Rehamed Therapy Sdn Bhd di UOA Business Park, Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Rehamed Therapy, Datuk L J Charles.

Rehamed Therapy diketuai Jorg Teichmann mempunyai pakar fisioterapi berpengalaman serta pakar sains sukan yang merawat sakit belakang, lutut, sakit bahu, kedudukan postur, kecederaan sukan serta penurunan berat badan dan pencegahan kecederaan.

Teichmann memilki pengalaman 22 tahun merawat atlet ternama negara antaranya ratu squash negara, Datuk Nicole David; pelumba F1, Alex Yoong; pemain badminton, Lee Wan Wah; atlet gimnas, Farah Ann; Cheong Jun Hoong serta Azlan Iskandar.

Dalam perkembangan lain, Nurul Huda yang juga pemegang rekod pingat emas terbanyak Malaysia dalam sejarah Sukan SEA dengan memenangi 23 pingat emas, menyifatkan persaraan jaguh badminton, Datuk lee Chong Wei adalah berita sedih kepada negara.

"Sudah tentu sukan badminton dekat di hatinya dan keputusan yang diambil ini dibuat selepas beliau fikir sedalam-dalamnya.

"Persaraan beliau adalah berita sedih kepada negara tetapi kesihatan beliau lebih penting tambahan pula beliau memiliki anak masih kecil," katanya.

"Beliau sudah memberikan sepenuh jiwa dan raga kepada negara, sekarang masa untuk bersama keluarganya, saya doakan yang terbaik untuk masa depan beliau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 15 Jun 2019