Bidikan Suryani kembali ditagih

NUR Suryani.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

ATLET menembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi kini fokus dalam mengintai peluang untuk mewakili negara walaupun kes samannya terhadap Institut Sukan Negara (ISN) bakal dibicarakan pada September nanti.

Khidmat penembak kelahiran Perak berusia 37 tahun berkenaan kembali ditagih untuk menghadapi temasya dwitahunan di Sukan SEA Filipina pada Disember nanti.

“Saya akan terus mewakili negara selagi diperlukan. Saya dipanggil untuk menjalani latihan penuh pada Mac lalu,” katanya.

Dia mengintai peluang untuk mewakili negara untuk kali kesepuluh berturut-turut sejak kali pertama pada 2001 selepas menyumbang sejumlah emas dan pingat sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya tidak fikir lagi tentang sasaran termasuk emas kerana fokus adalah kepada membuat persediaan 100 peratus. Kita berdepan tugas sukar kerana agak ketinggalan dari segi teknologi terbaru berbanding Singapura, Vietnam dan Thailand namun kita akan cuba yang termampu,” katanya.

Mengulas mengenai kes samannya bersama Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim terhadap ISN, ia akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Tiga atlet menembak itu menerusi peguam bela Ahsa Advocates & Solicitors membawa kes saman terhadap ISN pada Oktober 2017 selepas mendakwa digugurkan mengikut cara yang salah dan menyalahi perjanjian yang sepatutnya namun ditolak oleh Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Trio yang digugurkan daripada Program Podium pada Februari 2017 itu bagaimanapun tidak menyerah dan memperjuangkan kes memfailkan saman ke atas ISN untuk didengar ke Mahkamah Rayuan dan akhirnya keputusan memihak kepada mereka untuk membolehkan kes itu dibicarakan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 20 Jun 2019