Tak mustahil!

SHALIN Zulkifli.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Shalin Zulkifli sedia menyahut cabaran untuk mengatasi rekod 22 emas dimiliki Nurul Huda Abdullah disaksikan sendiri legenda renang negara itu di bumi Filipina.

Jelasnya atlet tenpin bowling negara berusia 41 tahun itu, Nurul Huda yang juga timbalan ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA Filipina menyuarakan perkara itu kepadanya dua tahun lalu.

“Kami sudah lama berkawan dan sejak kebelakangan ini semakin rapat. Dia pernah beberapa kali secara peribadi menyuarakannya kepada saya.

“Saya akan cuba namun bukan perkara mudah terutama apabila Filipina mengurangkan jumlah acara dipertandingkan pada Disember depan,” jelasnya yang meraih tiga emas di Kuala Lumpur.

Berbanding di Kuala Lumpur yang mempertandingkan 11 emas secara keseluruhan namun tuan rumah Sukan SEA edisi ke-30, Filipina hanya menyenaraikan sembilan acara. Ia termasuk menggugurkan acara trio dimenangi Shalin dua tahun lalu.

“Bagi wanita, ada empat acara selain acara beregu campuran, jadi sukar untuk menang tiga daripada empat emas dipertandingkan.

“Bagaimanapun kami akan memberikan yang maksimum kerana keutamaan adalah membantu kedudukan keseluruhan kontinjen negara.

“Pencapaian lain seperti memecahkan rekod adalah bonus. Bagaimanapun, saya sebenarnya sudah cukup berbangga apabila berada di belakang Nurul Huda dalam kutipan emas terbanyak.

“Jika mendapat peluang sudah pasti saya akan melakukannya, namun tumpuan ketika ini memastikan saya tersenarai untuk ke Filipina kerana proses pemilihan masih panjang dengan banyak kejohanan perlu disertai,” katanya.

Secara keseluruhan Shalin mengumpul 20 emas sejak menyertai Sukan SEA 1993 manakala Nurul Huda kekal unggul sebagai penyumbang terbanyak sejak 30 tahun lalu dengan 22 emas sepanjang pembabitannya dari 1983 hingga 1989.

Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) meletakkan sasaran empat emas di Filipina kepada atlet negara menerusi acara beregu lelaki dan wanita, berpasukan wanita selain masters wanita.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 21 Jun 2019