MTBC yakin Shalin atasi rekod 22 emas

Chok yakin Shalin (kanan) atasi rekod 22 pingat emas Sukan SEA. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

KONGRES Tenpin Boling Malaysia (MTBC) yakin bahawa Shalin Zulkifli mampu untuk menyahut cabaran dan mengatasi rekod 22 emas dimiliki Nurul Abdullah di temasya Sukan SEA malah ia bukan satu yang mustahil.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok bagaimanapun berkata, Shalin perlu melipat gandakan usaha antaranya daripada segi kecergasan selain mempamerkan konsistensi dalam permainannya.

Kata Maradona, usia Shalin yang kini menjangkau 41 tahun itu mungkin akan menjadi penghalang untuk mencapai tahap kecergasan optimum justeru dia perlu memberi fokus lebih ke arah itu.

Selain itu, Shalin perlu berusaha untuk menempatkan dirinya dalam kelompok terbaik bagi disenaraikan ke dalam acara empat sepasukan berikutan tempat yang terhad.

"Hanya sembilan emas ditawarkan kali ini di Sukan SEA Filipina tapi bukan satu yang mustahil buat Shalin mengatasi rekod Nurul Huda.

"Shalin perlu berusaha keras menempatkan diri dalam acara berpasukan kerana namanya memang sudah ada dalam acara individu, beregu dan beregu campuran selain perlu layak jika ingin beraksi dalam acara masters," katanya.

Maradona berkata, Singapura dan Indonesia antara negara yang mempunyai pemain terbaik yang perlu diberi perhatian jadi Shalin perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Secara keseluruhan Shalin mengumpul 20 emas sejak menyertai Sukan SEA 1993 manakala Nurul Huda kekal unggul sebagai penyumbang terbanyak sejak 30 tahun lalu dengan 22 emas sepanjang pembabitannya dari 1983 hingga 1989.

Shalin yang memenangi tiga emas dalam acara trio, lima sepasukan dan Masters pada Kuala Lumpur 2017 adalah antara 12 pemain wanita yang disenaraikan ke Filipina sebelum pemilihan empat pemain lelaki dan empat pemain wanita diputuskan sebelum 1 Ogos ini.

Pada temasya kali ini, skuad negara meletakkan sasaran lebih rendah dengan hanya menyasarkan empat emas sahaja berikutan Filipina tidak menyenaraikan acara trio.

Malah, tuan rumah hanya membenarkan empat pemain lelaki dan wanita diturunkan bagi setiap negara berbanding enam pemain lelaki dan enam pemain wanita pada temasya lalu di Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 21 Jun 2019