Jae-hyung 'kaji' angin Filipina

PENGARAH NAAM, Lee Jae-Hyung. FOTO Saifullizan Tamadi
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

KEJOHANAN ujian Sukan SEA 2019 pada September akan menjadi misi penting kepada Pengarah Teknikal Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Lee Jae-hyung.

Ia akan membantunya merangka persiapan terbaik dalam memastikan sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) dan NAAM meraih lima emas di Filipina tercapai.

“Filipina akan menganjurkan pertandingan di kawasan pantai, jadi kita akan meninjaunya semasa kejohanan ujian pada September nanti.

“Kita akan lihat keadaan angin dan selepas itu merangka persiapan terbaik dan memilih lokasi sesuai bagi membolehkan pemanah negara dapat menguasai keadaan dan suasana,” jelasnya selepas lawatan ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA 2019.

Tambah pengendali dari Korea Selatan berkenaan, sasaran lima emas mampu dicapai dengan prestasi semasa yang dipamerkan pemanah negara.

“Dua tahun lalu kita mara ke lapan aksi final dan saya fikir kali ini pemanah negara turut mampu memenuhi sasaran ditetapkan,” katanya.

Malaysia muncul juara keseluruhan bagi sukan memanah dua tahun lalu apabila meraih lima emas diikuti rapat Indonesia yang meraih empat emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 04 Jul 2019