10 atlet eSports profesional perkasa cabaran

HISHAM Darus. - FOTO Owee Ah Chun
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

SERAMAI 10 atlet sukan elektronik profesional tempatan yang mencipta nama di peringkat dunia akan diserap dalam 'bootcamp' persediaan skuad negara ke Sukan SEA 2019. Setiausaha Persatuan E-Sports Malaysia (ESM), Hisham Darus berkata, kemasukan atlet terbabit diyakini boleh menjamin sasaran meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas. Katanya, atlet profesional terbabit berpengalaman beraksi di peringkat lebih tinggi bagi acara Defense of the Ancients (DotA) 2 iaitu The International.

"Sepuluh atlet ini menawarkan diri untuk kembali mewakili negara. Perkara ini akan dibincangkan dan diperhalusi di peringkat jawatankuasa induk dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjustifikasikan keputusan ini dalam perbincangan bersama atlet lain.

"Ini bagi mengelakkan timbul pertikaian kalangan atlet yang terpilih untuk acara DotA ini melalui kelayakan kebangsaan. Sasaran kita hanya satu untuk mendapat satu emas," katanya dalam temubual hari ini.

Temasya dwi tahunan itu akan menjadi penyertaan atlet eSports negara pertama ke sukan terbesar di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata, daripada enam acara disenaraikan di Sukan SEA 2019, iaitu DotA 2, Starcraft II, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Arena of Valor (AOV), Heartstone dan Tekken 7, pihaknya menyasarkan tiga emas dan dua podium.

"Tiga emas itu dalam acara DotA, Hearthstone dan Tekken 7," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Darul Hisham mengesahkan sudah menyerahkan dokumen terperinci berkaitan permohonan bantuan bernilai RM750,000 bagi perbelajaan dalam penganjuran kejohanan Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA 2019 sebelum ini kepada MSN hari ini. "

“Kami juga akan mengadakan sidang media khas selepas ini berkaitan sesi bootcamp yang mana kami pohon peruntukan di bawah RM1.5 juta bagi mempersiapkan atlet termasuk latihan di dalam dan luar negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 10 Jul 2019