'Tiada perkembangan negatif setakat ini'

Nazifuddin (kanan) tunggu Megat Zulkarnain pulang untuk perkembangan terbaru. FOTO fail NSTP
Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@mediaprima.com.my

KONTINJEN negara ke Sukan SEA Filipina boleh menarik nafas lega apabila tiada perkembangan negatif yang memaksa tarikh temasya dwitahunan itu ditangguhkan meskipun pada masa sama venue bagi sesetengah acara mungkin bertukar.

Ketika ini, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta dua timbalannya iaitu Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah menghadiri Mesyuarat CDM di Manila.

“Nampaknya mungkin ada perubahan dari segi venue tetapi Sukan SEA akan tetap dijalankan,” kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

“Tiada tanda yang mereka akan mengubah tarikh atau menunda Sukan SEA tetapi kita tunggu mereka pulang minggu depan untuk maklumat yang lebih lanjut.”

Sebelum ini timbul khabar angin mengenai penganjuran Sukan SEA susulan perubahan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Filipina, apabila Presiden POC, Ricky Vargas meletak jawatan secara mengejut.

Tempatnya digantikan Naib Presiden 1 POC Joey Romasanta yang mendakwa persiapan Sukan SEA disalah tadbir berikutan isu perundangan yang tidak diselesaikan pada peringkat awal.

Tetapi apa yang pasti isu perubahan venue seperti yang diketengahkan Megat Zulkarnain sebelum ini mungkin lebih meresahkan kontinjen negara tatkala tarikh temasya berbaki 140 hari lagi.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 12 Jul 2019