Gimrama mahu bolot emas

PETRINA Low yakin skuad negara mampu bolot emas. FOTO/NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

SKUAD gimrama akan memastikan kesemua emas yang dipertandingkan di temasya Sukan SEA Filipina pada November ini menjadi milik negara.

Selepas penganjur temasya Sukan SEA, Filipina mengumumkan akan mempertandingkan acara senaman berkumpulan - lima bola, Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low yakin skuad negara mampu untuk mengulangi pencapaian dua tahun lalu ketika ia dilangsungkan di Kuala Lumpur.

Petrina berkata, berdasarkan prestasi semasa, beliau berkata atlet negara masih lagi antara yang terbaik di Asia Tenggara.

"Kita baru pulang daripada menyertai kejohanan di Pattaya, Thailand dan prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua atlet amat memberansangkan.

"Berdasarkan kedudukan semasa, gimnas negara masih lagi mengungguli kedudukan di Asia Tenggara dan disebabkan itu saya harap kita dapat meraih kesemua lima emas yang dipertandingkan," katanya.

Petrina ketika ditemui berkata, barisan gimnas yang beraksi dalam acara berpasukan akan menyertai beberapa pertandingan di luar negara antaranya di Belarus dan juga Portugal manakala gimnas individu akan berlepas ke Kazan, Russia hujung bulan ini.

Untuk rekod acara gimrama menawarkan lima emas oleh tuan rumah, Filipina berbanding lapan emas pada edisi lalu.

Tuan rumah hanya mempertandingkan aparatus final gelung, bola, belantan dan riben serta satu acara kumpulan, lima bola.

Pada temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur, skuad gimrama negara menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan dengan menyumbang kepada keseluruhan 13 pingat emas diperoleh daripada sukan gimnastik.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 14 Jul 2019