Faizul optimis hatrik emas

Faizul (kiri) yakin raih emas pada Sukan SEA. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PESILAT negara, Mohd Faizul Nasir optimis mampu merealisasikan emas yang diletakkan dibahunya pada Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini.

Tanpa kehadiran dua teraju utama, Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir yang tidak disenaraikan tumpuan kini terarah kepada beberapa pesilat lain bagi merealisasikan sasaran dua emas Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Salah satu sasaran emas diletakkan kepada Faizul yang bertanding dalam Kelas B Putra (50-55 kilogram).

"Saya meraih dua emas berturut-turut sejak Singapura (2015) dalam kategori yang sama, jadi saya mahu memastikan hatrik emas dicapai pada kali ini.

"Setiap negara mempamerkan peningkatan termasuk Malaysia. Saya percaya dengan perancangan dan taktikal yang dirancangkan, hasil yang diharapkan mampu dicapai nanti," katanya.

Pesilat kelahiran Selangor berkenaan tidak melihatnya sebagai bebanan apabila diletakkan sandaran mengekalkan emas namun bersedia menyahut cabaran.

"Silat adalah sukan individu. Saya lebih melihatnya sebagai seorang pejuang, bukan penumpang," tambahnya.

Pesilat negara meraih pencapaian yang membanggakan pada edisi ke-29 di Kuala Lumpur apabila mempamerkan dominasi dengan 10 emas.

Bagaimanapun Filipina yang menjadi tuan rumah Sukan SEA pada Disember nanti, hanya mempertandingkan sembilan acara sekali gus menyaksikan beberapa pesilat utama negara tersisih.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 15 Jul 2019