Kontinjen terbesar di luar Kuala Lumpur

MEGAT Zulkarnain (kanan) memberikan kata semangat kepada atlet angkat berat negara awal bulan ini.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

MALAYSIA dijangka menghantar kontinjen terbesar di luar Kuala Lumpur pada temasya Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan sekali gus mengatasi jumlah kontinjen pada edisi 2007 di Korat.

Ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, jumlah atlet dan pegawai yang ramai itu disebabkan Malaysia menyertai banyak acara.

"Saya jangkakan jumlah kontinjen kali ini akan mengatasi Korat. Maknanya yang terbesar di luar Kuala Lumpur. Pertamanya kerana atlet negara akan mengambil bahagian dalam 51 acara sukan.

"Sekarang ini jumlah sudah berdaftar di dalam sistem seramai 1,300 orang. Kalau ada pengurangan pun masih lagi akan mengatasi Korat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan SEA Filipina hari ini.

Korat menyaksikan Malaysia menghantar seramai 1,114 kontinjen membabitkan 820 atlet dan 294 pegawai. Penyertaan paling besar ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang menyaksikan Malaysia diperkuatkan seramai 1,235 kontinjen membabitkan 845 atlet dan 390 pegawai.

Malaysia hadir ke Filipina selaku juara bertahan selepas meraih 145 emas, 91 perak dan 88 gangsa. Sementara itu Megat berkata, semua pengurus pasukan perlu menghantar senarai nama atlet masing-masing sebelum 15 Ogos depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 26 Jul 2019